Hari ini beberapa perkara terkesan telah terjadi setakat ini.
PresentasiPagi ini, presentasi tentang
Islamic Financial System selamat berlansung (bertukar tajuk pula! Hehe). Presentasi secara duet; iaitu saya dan Rahim dari Uzbekistan, berlalu seperti yang dirancang. Walaupun agak berdebar akan soalan-soalan maut yang mungkin akan ditanya, namun itu tidak berlaku. Khalayak hanya mendengar dengan tekun dan terkedu dengan ekonomi tanpa riba yang kami perkenalkan. Sebelum presentasi, tidak putus-putus saya berdoa agar lancar pertuturan dan moga ada hati yang bakal diketuk untuk mengenali dan mendakapi Islam. Saya juga berdoa agar tiada salah ajar yang kami tuturkan yang boleh membuahkan salah faham. Syukurh, semuanya
OK! Alhamdulillah.
JubahUntuk presentasi ini juga, kami telah berpakat untuk memakai baju yang agak Islamik! Saya tidak dapat memikirkan pakaian lain selain jubah dan tudung mak Arab yang saya bawa ke Tokyo ini. Makanya, hari ini saya telah berjubah hitam, berlilitkan tudung mak Arab dan berbasikal dari stesen ke universiti!! Aduhai... Tidak pernah dibuat dalam hidup. Dengan angin di kawasan Takadanobaba yang agak kuat, jubah dan tudung saya berkibar bagaikan layang-layang yang sedang terbang! Hahahaha. Pengalaman yang tak dapat dilupakan.
DakwahWaktu makan tengahari pula, saya telah berjanji temu untuk makan bersama bekas guru bahasa Jepun, Tadokoro Sensei di Waseda University ini juga. Beliau yang berbangsa Jepun, kini bergelar siswi kembali kerana menyambung pengajiannya di peringkat kedoktoran di fakulti liguistik di universiti ini. Saya juga mengambil peluang mempraktikkan bahasa Jepun secara santai dengannya dan bertanyakan tatabahasa yang saya kurang pasti. Apa tidaknya... Ujian Bunpo (tatabahasa) ialah Jumaat ini!!
Entah bagaimana, perbualan kami akhirnya berkisar tentang Islam. Mengenai cara pakai, cara makan, solat, puasa dan sebagainya. Mungkin kerana saya berjubah tadi. Secara tidak sengaja, banyak juga telah saya sampaikan padanya. Dan yang paling saya tidak sangka ialah, saya berdakwah dengannya dalam bahasa Jepun!! Saya pernah mengimpikannya, berdakwah dalam bahasa Jepun, namun saya tidak sangka saya boleh dan telah pun melakukannya.
Walaupun kesannya mungkin tidak segera, saya juga berdoa moga ada mana-mana urat sarafnya dan sedikit ruang dalam hatinya yang mencambah minat untuk mengenali dan mendakapi Islam. Amiiin...
Saya yang serba kurang ini, merasa sedikit kepuasan dengan nikmat yang diberikanNya. Alhamdulillah. Dia juga yang menentukan segalanya. Subhanallah.